mutakhir

Tiada jemaah tabligh sertai ijtima of asia

Oleh Mahaizura Abd Malik

PUCUK pimpinan yang menaungi majoriti jemaah tabligh di seluruh negara mengesahkan tiada seorang pun ahli mereka menyertai himpunan Ijtima of Asia 2020 di Indonesia.

Syura Markaz Dakwah dan Tabligh Malaysia yang berpusat di Sri Petaling, Abdullah Cheong menafikan sebarang pembabitan hampir 60,000 jemaah mereka dalam acara yang sudah dibatalkan buat sementara waktu itu susulan kegusaran akibat penularan wabak Covid-19.

“Ijtima itu bukanlah ijtima kami dan dianjurkan oleh pihak dan platform yang berbeza.

“Jika ada rakyat Malaysia yang menyertainya, mereka bukanlah dari Jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia yang berpusat di Masjid Sri Petaling,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sentiasa mengingatkan dan mengarahkan semua ahli supaya mengikuti peraturan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa kelmarin hingga 31 Mac ini.

“Kami sudah mengarahkan supaya semua rakan seusaha (jemaah) kami untuk mematuhi undang-undang pihak berkuasa.

“Tiada jemaah dihantar ke luar negara dari Masjid Sri Petaling dan tiada jemaah yang masuk ke Malaysia dalam tempoh ini.

“Tiada siapa antara kami yang bernaung di bawah Masjid Sri Petaling ini menghadiri ijtima itu,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan puluhan rakyat Malaysia dipercayai berada di negara itu bagi menyertai acara yang sepatutnya berlangsung di wilayah Sulawesi Selatan hari ini hingga Ahad.

Bagaimanapun ijtima yang dijangka dihadiri ribuan masyarakat Islam seluruh dunia itu dibatalkan penganjur selepas bersetuju menunda acara berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 7:00pm
    d