mutakhir

51 positif Covid-19 di Sarawak dalam tempoh seminggu

Oleh Mohd Roji Kawi

KES positif Covid-19 di negeri ini menunjukkan trend meningkat dengan satu lagi kes direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 51 individu dijangkiti wabak itu dalam tempoh seminggu sejak 13 Mac lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setakat hari ini Sarawak mencatatkan sejumlah 683 individu dalam siasatan (PUI) dengan 292 diuji negatif manakala 340 sedang menunggu ujian makmal.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, kebanyakan kes yang dilaporkan ketika ini adalah kes import.

“Sebab itu Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan kerana ia adalah satu langkah pencegahan untuk rakyat menghindari tempat-tempat yang sesak.

“Kita juga berusaha mengelakkan penduduk dari bandar balik ke kampung, melarang berada di kedai kopi, restoran, lapangan terbang atau stesen bas bagi membendung penyebaran wabak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Institut Kemajuan Desa, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sarawak dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak di sini, petang ini.

Uggah berkata, tiga institusi itu dikenal pasti untuk dijadikan sebagai pusat kuarantin jika Hospital Umum Sarawak dan Kolej Kesihatan Awam Sarawak tidak lagi menampung jumlah pesakit yang perlu menjalani rawatan dan kuarantin.

“Orang ramai tidak perlu bimbang dengan pembukaan pusat kuarantin di sini (Kota Samarahan) kerana saya memberi jaminan bahawa hanya kes PUI dihantar ke sini, bukannya yang disahkan positif,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 7:14pm
    d