mutakhir

Jual makanan sampai 9.30 malam je...

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

SEMUA aktiviti perniagaan makanan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dibenarkan beroperasi sehingga 9.30 malam bermula hari ini.

Arahan terbaru yang dikeluarkan MBKT itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang ditetapkan kerajaan yang berkuatkuasa semalam hingga 31 Mac ini.

Datuk Bandar Kuala Terengganu Shahidan Embok berkata, semua restoran, kedai makan, penjaja dan medan selera di daerah itu diingatkan supaya akur dengan arahan yang dikeluarkan itu.

“Waktu beroperasi tidak boleh melebihi 9.30 malam bagi semua perniagaan membabitkan makanan.

“Bagi semua kompleks perniagaan, gerai makan tepi jalan, penjaja beredar, pasar malam, pasar pagi dan pasar tani diarahkan tutup sepenuhnya,” katanya melalui satu notis penutupan premis perniagaan MBKT yang dikeluarkan di Kuala Terengganu hari ini.

Shahidan berkata, pengecualian penutupan dan penetapan waktu beroperasi diberikan kepada pasar raya, pasar awam dalam bangunan, klinik, farmasi, kedai runcit atau serbaneka.

“Arahan itu selaras dengan Akta 342, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

“Kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan itu ialah satu kesalahan jenayah dan boleh dikenakan hukuman,” katanya.

Menurutnya, semua peniaga perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan itu untuk kebaikan bersama atau perlu berhadapan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

“MBKT tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang ingkar dengan arahan yang dikeluarkan dan pemantauan penguatkuasaan akan sentiasa dijalankan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 7:43pm
    d