mutakhir

Bantu individu dan PKS terjejas Covid-19

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KERAJAAN menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE2020) akan terus membantu individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, menerusi PRE2020, kerajaan menyediakan beberapa tabung pembiayaan kewangan bagi individu dan PKS yang terkesan.

Katanya, kementerian juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia bagi memastikan pasaran modal dan kewangan terus berfungsi secara telus dan teratur.

“Pelbagai langkah diambil untuk memastikan individu dan PKS terkesan diberi sokongan yang berpatutan.

“Selain peruntukan untuk membantu PKS mengekalkan operasi perniagaan, melindungi pekerjaan dan menggalakkan pelaburan domestik, bank-bank tempatan turut mengambil langkah menyokong individu dan PKS.

“Pelbagai bantuan khas, kemudahan pinjaman, kemudahan penyusunan dan penjadualan semula serta moratorium selama enam bulan untuk perniagaan PKS dan individu telah diperuntukkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Di samping itu, beliau berkata, kerajaan juga amat prihatin terhadap keadaan kesihatan rakyat dan beberapa syarikat insurans dan pengendali takaful mengambil inisiatif bagi membantu meringankan beban kepada pemegang polisi mereka dengan memanjangkan faedah insurans bagi pencarum yang terkesan dengan Covid-19.

Selaras dengan arahan kerajaan yang memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan kelmarin sehingga 31 Mac 2020, kerajaan mengambil maklum terhadap kesulitan yang dihadapi oleh semua pembayar cukai.

“Oleh itu, beberapa langkah diambil oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi memastikan pembayar cukai dapat mengatur semula urusan percukaian dan seterusnya meringankan kesulitan yang mereka hadapi,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Kewangan dan agensi di bawahnya akan terus bekerjasama dengan sektor kewangan dan pelaburan untuk mengkaji pelaksanaan PRE2020 dan langkah seterusnya bagi membantu dan menyokong perniagaan dan isi rumah mengikut keperluan semasa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 8:18pm
    d