mutakhir

Baik buruk tak masuk pejabat

Oleh BERNAMA

ARAHAN bekerja dari rumah yang dilaksanakan oleh sektor awam dan swasta selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19 bermula kelmarin sehingga 31 Mac dilihat mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri.

Tinjauan mendapati ada dalam kalangan pekerja pernah diarahkan bekerja dari rumah oleh majikan sebelum ini namun terdapat pekerja yang pertama kali melalui pengalaman sedemikian.

Seorang pekerja syarikat perkhidmatan perkapalan di Klang, Nurnasha Edrinanieza Mohammed, 24, berkata, bekerja dari rumah bukan perkara baharu baginya namun tempoh masa dua minggu yang diarahkan kerajaan mungkin ‘mengganggu’ sedikit proses kerjanya.

“Majikan memang menyokong penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan itu dan membenarkan saya membawa pulang komputer riba bagi melicinkan proses kerja. Namun, apa yang sukar adalah apabila mesyuarat terpaksa dilakukan secara dalam talian.

“Pada saya, ini dilihat kurang efektif kerana ada beberapa perkara yang kita perlu berbincang secara bersemuka. Namun, demi mengekang penularan wabak, kita kena akur,” katanya semalam.

Pereka grafik swasta di Shah Alam, Muhammad Wahyu Mohd Aini, 25, berkata, walaupun teruja kali pertama bekerja dari rumah namun khuathir tumpuannya pada kerja boleh terganggu.

“Pada pendapat saya, bekerja dari rumah ini mempunyai kelebihan dan kelemahannya. Kelebihannya sudah pasti saya tidak perlu tergesa-gesa bersiap untuk ke tempat kerja.

“Namun, kelemahannya adalah disiplin kerja tidak sama seperti di pejabat kerana apabila di rumah, banyak benda boleh mengganggu. Jadi, terpulang kepada diri sendiri untuk menjalankan amanah syarikat,” katanya.

Lain pula pendapat seorang pekerja syarikat perisian komputer di Bukit Tinggi, Klang, Farhan Rahim, 24, yang melihat selain arahan bekerja dari rumah dapat mengekang penularan Covid-19, ia juga boleh menjimatkan perbelanjaan serta kos pengangkutan.

Sungguhpun begitu, katanya, tugasan kerja harian mesti disempurnakan sebaiknya kerana syarikat meletakkan sepenuh kepercayaan kepada setiap pekerjanya.

“Segala tugasan telah diberikan oleh syarikat sehingga tempoh perintah kawalan itu tamat dan mereka akan mengemas kini perjalanan kerja seluruh kakitangan.

“Jika ada mesyuarat yang dijadualkan, ia akan dibuat secara atas talian, namun pada pendapat saya, ada sesetengah perkara lebih mudah diterangkan secara berhadapan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 7:10am
    d