mutakhir

Peniaga akur walaupun rugi

Oleh Zaid Salim

PASAR Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu yang sebelum ini menjadi tumpuan terutama pada hujung minggu bertukar lengang, hari ini apabila orang ramai dan peniaga akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Walaupun peniaga mendakwa terpaksa menanggung kerugian berikutan wabak berkenaan, namun mereka akur dengan mematuhi setiap arahan daripada pihak berkuasa.

Setakat ini, mereka dibenarkan berniaga bermula 4 pagi sehingga 9 pagi dengan pengawasan pihak polis, pegawai Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Peniaga, Wazir Alias, 30, berkata dia bersyukur kerana masih diberi peluang untuk berniaga di pasar berkenaan walaupun dalam tempoh masa singkat.

“Memang perniagaan sejak penularan wabak ini terjejas, namun saya akur dengan rezeki Allah SWT.

“Kebiasaan hasil jualan mencecah sehingga RM3,000 sehari tetapi sejak wabak ini, hasil jualan merosot hampir 50 peratus,” katanya.

Peniaga ikan Hafiz Jusoh, 30, berkata walaupun dibenarkan berniaga tetapi dia berasa bimbang dengan kehadiran pengunjung.

“Saya mengambil langkah berjaga-jaga ketika berdepan pelanggan dan sentiasa memakai penutup hidung dan mulut, selain kerap mencuci tangan.

“Kami akur dengan sebarang perintah dikeluarkan kerajaan kerana keselamatan dan kesihatan lebih penting,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 2:21pm
    d