mutakhir

Akur tangguh solat Jumaat di Masjid Negara [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

ARAHAN penangguhan solat Jumaat selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai Rabu lalu hingga 31 Mac ini dipatuhi.

Tinjauan di Masjid Negara, Kuala Lumpur mendapati orang ramai akur dengan arahan bagi mengekang penularan Covid-19 dengan tidak berkunjung ke masjid itu.

Pengurusan masjid turut menampal notis memaklumkan mengenai penutupan Masjid Negara.

Notis itu bukan sahaja untuk rakyat Malaysia malah pelancong juga tidak dibenarkan masuk secara kumpulan.

Kawalan ketat dilakukan oleh pihak pengurusan masjid termasuk pengawasan rakaman litar tertutup bagi memastikan pengunjung mengikuti arahan itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengisytiharkan Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 15 Mac lalu mengambil ketetapan, semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah ditangguhkan bermula 17 hingga 26 Mac ini.

Selain itu, jawatankuasa masjid dan surau disarankan membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan mengelakkan jangkitan.

Tempoh 10 hari berkenaan adalah tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 3:35pm
    d