mutakhir

Macam-macam alasan kome...

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“SAYA tahu pasal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi ingat tak boleh berkumpul selepas 12 tengah malam saja,” kata penduduk Taman Samudera di Manjung yang dikenali sebagai Aris, 27.

Lelaki itu bersama tujuh rakannya berusia 22 hingga 27 tahun diberikan nasihat oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung selepas didapati berkumpul di sebuah rumah pada 10 malam semalam.

Aris berkata, mereka sedia maklum mengenai perintah itu bertujuan membendung penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, dia bersama rakannya juga memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan.

“Baru malam ini (semalam) kami melepak... kebetulan semua ada selepas menghadiri pengebumian rakan yang meninggal dunia pagi tadi akibat kemalangan.

“Sekarang kami sudah faham tidak boleh berkumpul di luar selepas diberi penerangan oleh polis,” katanya ketika ditemui dalam operasi bersepadu di Manjung, malam semalam.

Operasi berkenaan disertai 72 anggota polis, Majlis Perbandaran Manjung (MPM), kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Manjung, sukarelawan polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya melakukan sekatan jalan raya dan rondaan di sekitar Manjung untuk menguat kuasakan perintah terbabit.

Menurutnya, pada masa ini pihak polis memberi menasihat supaya orang ramai mematuhi arahan kerajaan, dan tindakan tegas akan diambil jika masih ingkar.

“Masih ada segelintir masyarakat tidak mengikut arahan, selain ada juga pengunjung yang berkelah di Teluk Senangin, kelmarin,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 4:37pm
    d