mutakhir

Peniaga masih patuh arahan

Oleh Mohd Rafi Mamat

PEMERIKSAAN ke atas 24 farmasi dan 112 kedai runcit di Pahang mendapati tidak berlaku kenaikan harga, manakala bekalan barangan mencukupi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani wabak Covid-19.

Perkara itu diakui Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang Ahmad Fitri Ali yang menjalankan pemeriksaan, hari ini.

Ahmad Fitri berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga selain bertindak menyorok barangan keperluan harian.

Katanya, pemeriksaan di farmasi tertumpu kepada bekalan penutup mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman.

“Kita berharap bekalan dua produk berkenaan mencukupi dan farmasi tidak menjualnya pada harga terlalu tinggi hingga membebankan pengguna yang ketika ini amat memerlukan.

“Namun, kita mendapati bekalan dua barangan itu masih kurang di pasaran disebabkan kekurangan bekalan dan dijangka akan diatasi dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan di kedai runcit juga mendapati tidak berlaku kenaikan harga barangan keperluan harian, malah bekalan juga mencukupi.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak terlalu bimbang hingga membuat pembelian panik kerana pihak berkuasa sentiasa memantau bekalan keperluan harian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 5:57pm
    d