mutakhir

Berdosa jika keluar rumah...

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

ORANG ramai yang melanggar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dengan keluar dari kediaman mereka sepanjang tempoh perintah dikuat kuasakan dianggap melakukan dosa.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, mereka yang enggan mematuhi arahan kerajaan juga dikira sebagai ingkar kepada perintah Allah SWT dan Rasul.

“Orang-orang yang degil dan enggan mematuhi arahan kerajaan untuk berada di kediaman masing-masing sebenarnya melakukan dosa.

“Mereka melanggar arahan pemerintah yang bertujuan untuk keselamatan mereka. Allah dan Rasul-Nya menyuruh kita mentaati pemerintah dalam perkara yang tidak maksiat atau dosa.

“Inikan pula dalam perkara yang memang disuruh oleh agama untuk kita lakukan iaitu menjaga nyawa sendiri dan nyawa orang lain. Perbuatan ingkar itu berdosa di sisi Allah,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasakan sejak kelmarin bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dengan meminta rakyat tidak keluar dari rumah mereka kecuali atas urusan penting atau kecemasan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 6:32pm
    d