mutakhir

Tolong, jangan reka cerita - Polis

Oleh Nor Amalina Alias

POLIS bersama pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kelantan mengakui hadir ke sebuah rumah jemaah tabligh di Tawang, Bachok seperti yang tular di laman sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Samsulmudin Sulaiman berkata, kedatangan mereka bagi memeriksa lelaki berusia lebih 50-an yang dipercayai hadir ke perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur, bulan lalu.

Katanya, polis mengiringi pegawai KKM untuk mengambil sampel darah lelaki berkenaan pada 2 petang.

“Dakwaan mengatakan lelaki itu enggan memberi kerjasama kepada polis dan KKM adalah tidak benar kerana dia memberi kerjasama yang baik.

“Kita sahkan sudah mengambil sampel darah lelaki itu dan dibawa ke makmal KKM untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Menurutnya, keputusan berkenaan akan diperoleh dalam tempoh beberapa hari akan datang, tetapi lelaki itu tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan.

“Lelaki itu mematuhi arahan polis dan melakukan kuarantin diri di rumah sementara menunggu keputusan yang dijangka keluar, dua hingga tiga hari lagi.

“Selepas keputusan keluar nanti, pihak KKM akan datang sekali lagi bagi mengambil sampel darah sebelum memberi pengesahan status lelaki itu.

“KKM memang datang lengkap berpakaian dan bertopeng sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Katanya, orang ramai diminta tidak memuat naik perkara yang boleh mendatangkan panik dan mematuhi arahan kerajaan supaya tinggal di rumah masing-masing bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Terdahulu, tular di Facebook mengatakan kedatangan polis dan KKM ke rumah lelaki terbabit kerana didakwa enggan memberi kerjasama.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 7:14pm
    d