mutakhir

Awas, penceroboh sempadan...

Oleh Syaherah Mustafa

BATALION 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) menambah jumlah kawasan kawalan daripada 14 kepada 88 pangkalan haram bagi mengawasi sempadan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasakan sehingga 31 Mac ini.

Pegawai Pemerintahnya Superintendan Azhari Nusi berkata, pertambahan itu dilaksanakan kerana masih ada segelintir penduduk tidak mematuhi arahan dengan membuat cubaan untuk memasuki lorong tikus di pangkalan haram.

Menurutnya, berikutan itu kawalan sempadan di sekitar kawasan Rantau Panjang, Jeram Perdah dan Pengkalan Kubor di Tumpat kini diperketatkan.

“Pertambahan jumlah keanggotaan di sempadan Malaysia-Thailand menunjukkan ketegasan PGA7 dalam menangani isu ini selain rondaan berkereta serta bermotosikal bagi memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kami juga merangka strategi bagi melaksanakan pelbagai kaedah terbaru untuk memperketatkan kawalan sempadan untuk mengekang sepenuhnya pergerakan warga Malaysia dan warga asing daripada masuk atau keluar di sempadan.

“Selain itu, orang ramai terutama penduduk di sempadan dinasihatkan untuk berada di rumah serta mengurangkan pergerakan keluar bagi mengatasi penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan ini,” katanya.

Azhari berkata, pihaknya mengambil tindakan tegas serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan terutama membabitkan isu rentas sempadan.

“Kami turut menjalinkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pihak polis bagi memastikan kawasan sempadan dalam keadaan baik.

“Malah, kerjasama daripada masyarakat juga amat diperlukan untuk menangani penularan wabak Covid-19 ini kerana jumlah rakyat yang dijangkiti Covid -19 kian bertambah dari hari ke hari,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 9:19pm
    d