mutakhir

Apa salah duduk di rumah...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

MASIH terdapat ibu bapa membawa anak-anak bersiar di tempat awam, selain keluar pada waktu malam tanpa memakai penutup muka dan hidung.

Begitu situasi yang dikesan di Bandaraya Alor Setar, malam semalam selepas Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasakan kerajaan sejak Rabu lalu berikutan penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya terpaksa melakukan pelbagai kaedah dalam usaha untuk mengurangkan pergerakan orang ramai di luar setiap hari.

Menurutnya, berdasarkan sekatan jalan raya yang dilakukan pihak polis mendapati masih ada individu keluar bersiar di tempat awam.

“Sepatutnya mereka duduk di rumah kerana kita bimbang apabila masih ramai berada di luar. Keadaan ini dibimbangi boleh menjadi penyumbang kepada peningkatan jangkitan Covid-19.

“Kita terpaksa menggunakan pelbagai kaedah termasuk melakukan sekatan jalan dan menutup 15 laluan di dalam bandar dalam tempoh tertentu untuk mengurangkan jumlah pengguna jalan raya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di Alor Setar, hari ini.

Mohd Rozi berkata, kebanyakan pengguna jalan raya yang ditahan memberi pelbagai alasan termasuk tidak tahu mengenai perintah berkenaan kerana tidak menonton televisyen dan sebagainya.

“Kami melakukan banyak sekatan termasuk enam sekatan hari ini dalam tempoh 24 jam ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilakukan.

“Sekiranya masih ada yang gagal mematuhi arahan, tindakan tegas akan diambil termasuk undang-undang kepada mereka yang masih berkeliaran,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 20, 2020 @ 9:38pm
    d