mutakhir

UIAM sedia makanan kepada 300 penuntut

Oleh Mohd Rafi Mamat

UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan menyediakan makanan percuma kepada 300 penuntut tempatan dan luar negara yang kini berada di asrama berikutan Perintah Larangan Pergerakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Pengarah Kampus UIAM Kuantan, Prof Dr Kamaruzzaman Yunos berkata, kemudahan itu bertujuan untuk meringankan beban selain memberi lebih keselesaan kepada pelajar terbabit yang terpaksa tinggal di asrama selama dua minggu selepas arahan penutupan sementara pusat pendidikan oleh kerajaan.

Katanya, penuntut disediakan makanan tiga kali sehari dan diberikan secara bungkus untuk dimakan di asrama.

Mereka juga sentiasa dinasihatkan supaya menjaga kebersihan.

Menurutnya, seramai 32 penuntut terbabit adalah penuntut luar negara dan selebihnya penuntut tempatan yang tidak berpeluang untuk pulang ke kampung termasuk juga sedang menunggu giliran untuk pulang.

“Pihak universiti akan memantau semua pelajar bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selesa di asrama. Kemudahan pengangkutan turut disediakan, sekiranya berlaku kecemasan.

“Penuntut terbabit tidak dibenarkan keluar dari kampus, mereka perlu berada di asrama sahaja sepanjang Perintah Larangan Pergerakan,” katanya, hari ini.

Dr Kamaruzzaman berkata, ibu bapa diharap tidak perlu bimbang mengenai keselamatan anak mereka kerana pihak UIAM sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan mereka.

Bagi pelajar Kuliyyah Sains, Sadia Sristy yang berasal dari Bangladesh, dia bersyukur dengan bantuan itu.

“Ini kali pertama saya dan penuntut lain menerima bantuan untuk tempoh masa panjang.

“Bantuan yang diterima turut dapat mengurangkan perbelanjaan yang sepatutnya digunakan untuk menyediakan makanan,” katanya.

Rakannya, Afia Asma berasal dari Arab Saudi pula berkata, dia berterima kasih kepada pihak UIAM Kuantan yang begitu prihatin dengan penuntut.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 8:19am
    d