mutakhir

Sarawak kesan 4 jemaah tabligh ke Indonesia

Oleh Mohd Roji Kawi

KERAJAAN negeri berusaha mengesan empat jemaah tabligh Sarawak yang berada di Indonesia menyertai Ijtimak Asia 2020 di Sulawesi.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, semua pihak berkuasa di laluan masuk termasuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sempadan sudah diarah untuk membuat pemeriksaan rapi.

Beliau berkata, empat lelaki itu dikenal pasti berlepas ke Indonesia pada 16 Mac lalu iaitu dua hari sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO).

“Kita sudah memaklumkan kepada Jabatan Imigresen, polis malah tentera, supaya mengesan mereka jika balik ke negeri ini melalui mana-mana laluan masuk.

“Jika dapat dikesan, kita akan membawa mereka untuk menjalani pemeriksaan dan proses kuarantin,” katanya ketika ditemui di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Masing berkata, identiti empat lelaki itu sudah dikenal pasti berdasarkan rekod Jabatan Imigresen.

Katanya lagi, mereka dikenal pasti tidak menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

“Kita percaya mereka akan balik ke Sarawak dalam masa terdekat,” katanya.

Program Ijtimak Asia 2020 yang dijadualkan diadakan pada 19 Mac hingga 22 Mac di Pesantren Darul Ulum, Bontomarannu, Gowa, Sulawesi, sudah dibatalkan.

Namun sebelum pengumuman pembatalan itu, difahamkan lebih 6,000 jemaah sudah berkumpul di lokasi program.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 1:50pm
    d