mutakhir

'Ini adalah ujian...' - Dr Zulkifli

Oleh Rafidah Mat Ruzki

PENULARAN wabak Covid-19 di Malaysia ketika ini dilihat turut mempunyai hikmahnya berikutan ia menyaksikan semua pihak merentasi batas agama dan politik dapat bekerjasama dalam usaha untuk memutuskan rantaian wabak berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pembabitan kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha berkenaan mencerminkan sikap cakna dan prihatin dengan apa yang berlaku dalam masyarakat.

“Alhamdulillah antara hikmah saya melihat rakyat Malaysia, pemimpin atasan, bawahan, merentasi parti politik agama, semuanya bekerjasama erat dalam memutuskan rantaian Covid-19.

“Dengan keadaan kawalan yang begitu terbatas serta terhad dan peraturan yang ditetapkan saya ingin mengucapkan terima kasih pada pagi yang mulia ini, kerjasama yang cukup erat daripada Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) dengan bank makanannya dan disertai pasukan Bahagian Halal dan Syariah QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR) yang menyumbang kepada ansaf dan kaunter hadapan hospital dan Datuk Mohd Chan.

“Bagi saya, pembabitan NGO, syarikat, kerajaan dan swasta semuanya adalah prihatin dan cakna akan apa yang berlaku pada khalayak masyarakat.

“Saya anggap ini adalah sunnah yang baik dan akan dilakukan ramai pihak Insya-Allah,” katanya kepada media selepas Program #Musaadah COVID-19 di Lobi Utama Hospital Putrajaya hari ini.

Hadir sama Pengarah JAWI Mohd Ajib Ismail, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Hospital Putrajaya Noorhayati Amin, Pengurus Besar QSR Roslan Saludin dan pengasas Restoran Mohd Chan Datuk Mohd Chan Abdullah

Terdahulu Zulkifli menyampaikan sumbangan tanggungjawab korporat sosial (CSR) daripada QSR Brands yang terdiri daripada 300 pek makanan segera serta 150 set makanan tengah hari dari Restoran Mohd Chan.

Ia adalah antara inisiatif bank makanan JAWI dengan rakan strategik di Wilayah Persekutuan bagi diedarkan kepada kakitangan Hospital Putrajaya yang terbabit usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Zulkifli berkata, pada masa sama, beliau berharap rakyat Malaysia turut berdoa supaya wabak COVID-19 ini dapat diselesaikan dengan baik bagi membolehkan kehidupan kembali seperti biasa.

“Kepada yang sakit dalam ujian musibah ini, kita doakan supaya Allah sembuhkan sebaiknya. Kepada yang sudah meninggal dunia, kami ucapkan takziah kepada keluarga.

“Ini adalah ujian, Insya-Allah semuanya dalam kebaikan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli berkata, pembayaran penuh elaun RM1,000 kepada 35,000 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) serta RM800 kepada 4,000 guru takmir di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesukaran golongan itu serta bagi mengurangkan bebanan yang dihadapi.

“Kita tidak abaikan dan cuba beri bantuan sebagaimana yang berlaku kerana kita memahami keadaan mereka menyampaikan ilmu dan pendapatan mereka mungkin sedikit kekurangan.

“Kita juga memperuntukkan bantuan tambahan zakat kepada penerima asnaf dan bantuan pembelian alat bantuan pernafasan kepada tujuh hospital terpilih bernilai lebih RM15 juta.

“Esok kita akan buat satu pelancaran pemberian kepada hospital terpilih yang boleh meringankan KKM menghadapi wabak Covid-19 yang mencabar ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 3:21pm
    d