mutakhir

Tak pasal-pasal kena tahan

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

POLIS menahan seorang lelaki kerana membuat provokasi dan bertindak menghalang penjawat awam yang menjalankan tugas di Taman Sri Cahaya, Bestari Jaya di Kuala Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor sedang menjalankan tugas pencegahan jenayah dan pemantauan susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 7.30 malam.

Menurutnya, polis kemudiannya ternampak seorang lelaki sedang menggunakan telefon bimbit ketika rondaan di hadapan bengkel membaiki kenderaan.

“Polis mengarahkan suspek beredar, namun tidak diendahkan dan cuba melakukan provokasi.

“Anggota kemudiannya mengarahkan suspek mengemukakan kad pengenalan untuk diperiksa dan dia memberi kerjasama sambil mempertikaikan tindakan polis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan / 7(1) Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Suspek akan diberi jamin polis selepas keterangan diambil,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 4:24pm
    d