mutakhir

Jangan berkumpul, balik rumah jika tiada tiket

Oleh Mohamed Farid Noh

WARGA Indonesia yang tidak mempunyai tiket untuk pulang ke negara asal tidak dibenarkan berhimpun di Terminal Feri Antarabangsa Kukup, dekat Pontian.

Ia susulan kebanjiran ratusan warga Indonesia yang gagal mendapat tiket feri di terminal berkenaan dilaporkan mengambil keputusan berhimpun serta bermalam di situ bagi mendapatkan tiket keesokan harinya.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, lapan anggota polis sudah ditempatkan di terminal berkenaan bagi mengawal keadaan di samping mengarahkan warga asing yang tiada tiket untuk pulang dan tidak berhimpun di situ.

“Kebanjiran ratusan warga asing di terminal feri ini dilaporkan sejak beberapa hari lalu apabila mereka yang gagal mendapat tiket bermalam di terminal ini beramai-ramai.

“Ia berikutan hanya terdapat perkhidmatan empat perjalanan feri sehari dengan setiap perjalanan hanya mampu memuatkan 168 penumpang.

“Kita juga sudah berbincang dengan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) supaya menambah jumlah perjalanan feri dan mulai esok ia akan ditambah kepada enam perjalanan bagi mengelakkan kebanjiran warga asing di sini lagi.

“Polis juga tidak membenarkan sesiapa yang tiada tiket untuk berhimpun apatah lagi bermalam di sini dan mengarahkan mereka pulang bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 di sini,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng, memuat naik beberapa gambar ratusan warga asing Indonesia di terminal berkenaan yang dipercayai mahu pulang ke kampung halaman berikutan arahan Perintah Pergerakan Terhad dikeluarkan kerajaan, di akaun Facebooknya.

Beberapa gambar yang dimuat naik Jeck Seng yang juga Timbalan Menteri 1 Perusahaan Perladangan dan Komoditi, menunjukkan warga asing berkenaan bersesak dan berhimpit-himpit di kawasan terminal dengan kebanyakan mereka tidak memakai penutup hidung dan mulut.

Kebanjiran ratusan warga asing yang memenuhi Terminal Feri Antarabangsa Kukup, di Pontian, sejak Rabu lalu itu menimbulkan keresahan penduduk di saat ancaman penularan wabak Covid-19 semakin buruk.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 4:38pm
    d