mutakhir

Patuhi PKP -Tengku Hassanal

Oleh Shahrinnahar Latib

PEMANGKU Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah meminta rakyat negeri ini supaya duduk di rumah dengan tidak pulang ke kampung masing-masing bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Baginda bertitah, rakyat juga perlu mematuhi arahan kerajaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak membuat pembelian panik kerana barangan keperluan dijamin mencukupi.

“Saya nasihatkan sentiasa menjaga kebersihan, mencuci tangan dengan betul dan memakai topeng mulut dan hidung sekiranya tidak sihat.

“Selain itu, saya ingatkan supaya jangan menyebarkan berita yang tidak diketahui kesahihan sumbernya,” titah baginda dalam Titah Diraja kepada rakyat Pahang menghadapi wabak Covid-19, hari ini.

Baginda juga berdoa kepada Allah SWT supaya rakyat Pahang berada dalam keadaan sentiasa sihat dan sejahtera.

“Sama-sama kita berdoa kepada Allah supaya melimpahkan rahmat dan kesihatan yang baik kepada seluruh rakyat serta kita bebas daripada wabak Covid-19 ini dengan segera,” titah baginda.

Sementara itu, Tengku Hassanal juga merakamkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan yang bertungkus-lumus merawat pesakit Covid-19.

Baginda berdoa kepada Allah SWT agar petugas kesihatan diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik supaya dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.

“Saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pegawai perubatan dan warga kerja hospital, klinik kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang serta pejabat kesihatan daerah seluruh Pahang yang sentiasa bertungkus lumus merawat pesakit Covid-19.

“Saya juga menasihatkan petugas kesihatan untuk sentiasa menjaga keselamatan diri dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengelak daripada terkena jangkitan Covid-19,” titah baginda.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 5:12pm
    d