mutakhir

Ikut arahan PKP dan jangan degil

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: “Jangan ambil kesempatan dalam keadaan yang terkawal ini. Bila sampai jadi darurat nanti, perintah saya kepada petugas di bawah juga akan bertukar dan mungkin akan terus dibawa ke balai (polis) jika ingkar,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, masyarakat diminta jangan ambil kesempatan terhadap kelonggaran yang diberikan pihak berkuasa untuk mendapatkan keperluan harian sehingga ia dijadikan alasan setiap kali ditahan dalam sekatan jalan raya.

Katanya, walaupun sudah diberi amaran agar tidak keluar dari rumah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun masih ada rakyat negara ini yang degil tidak mematuhi arahan itu.

“Saya percaya ini masih berlaku tapi dalam jumlah yang kecil. Kita tidak berputus asa kini dalam tahap untuk menyedarkan dengan pelbagai teknik yang digunakan.

“Kita tidak mahu wujudkan suasana yang tidak baik antara polis dan masyarakat. Kita akan terus jelaskan kepada mereka kerana Covid-19 berada di mana-mana saja,” katanya dalam temubual bersama Astro Awani.

Beliau berkata, keengganan mematuhi arahan itu begitu dikesali kerana jumlah kenderaan yang masih tinggi di jalan raya sedangkan kerajaan kini giat melakukan pelbagai kaedah untuk mengawal penularan Covid-19.

“Budi bicara ini saya berikan kepada anggota di bawah untuk beri kebenaran tapi jangan eksploitasi. Bahaya ini bukan ciptaan, rekaan dan lakonan tetapi realistik.

“Warga PDRM sudah enam orang dijangkiti dan 335 orang dalam kalangan keluarga PDRM dalam pemerhatian. Ini adalah risiko yang perlu PDRM ambil,” katanya.

Abdul Hamid berkata, dalam mesyuarat harian bersama pucuk pimpinan PDRM dan mengadakan sidang video bersama 14 kontinjen seluruh negara, beliau menyampaikan pesanan serta galakan kepada warga PDRM untuk bersemangat dalam menjalankan tugas demi negara.

Katanya, ada beberapa kes yang sudah diambil tindakan oleh PDRM membabitkan kes mabuk, maki, bertindak kasar serta mencabar polis.

“Saya beri lampu hijau untuk mereka ditangkap. Dalam kes lain seperti di Labuan yang enggan menjalankan pemeriksaan kesihatan dan polis dipanggil untuk membantu. Kertas siasatan akan dibuat apabila keadaan sudah reda,” katanya.

Dalam pada itu, polis juga sudah menubuhkan pasukan khas diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed yang bertanggungjawab mengumpul maklumat mengenai keengganan jemaah tabligh menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Bertindak atas maklumat, polis menyiasat dan membawa kepada perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum satu pasukan dihantar. Polis sudah kenal pasti 7,671 jemaah yang hadir ke ijtimak di Masjid Sri Petaling,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 6:03pm
    d