mutakhir

Wilayah Persekutuan dipantau ketat [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SERAMAI 5,000 anggota keselamatan, Perbadanan Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan ditugaskan mengawal keadaan di Wilayah Persekutuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu diputuskan dalam perbincangan bersama polis dan tentera, hari ini, dengan giliran tugas sebanyak tiga syif.

Katanya, beliau berpuas hati dengan kadar pematuhan PKP di Wilayah Persekutuan mencapai tahap 90 peratus dan ia satu perkembangan positif bagi sebuah bandar raya yang sebelum ini begitu sibuk dengan pelbagai aktiviti.

“Untuk Wilayah kita akan ada 1,000 anggota tentera, 1,500 anggota polis menjadikan keseluruhannya 2,500. Dan kita ada kakitangan daripada Perbadanan Putrajaya dan DBKL keseluruhannya ada 5,000 keanggotaan yang akan bekerja dalam tiga syif.

“Secara keseluruhannya Alhamdulillah, tanpa menggunakan paksaan tetapi melalui pujukan dan kesedaran, ia makin meningkat dari hari pertama 60 peratus dan sekarang 90 peratus, jadi itu baik,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, hari ini.

Annuar berkata, satu taklimat khusus mengenai Masjid Sri Petaling akan diadakan esok untuk menyelesaikan beberapa masalah berhubung penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, antara yang akan diputuskan termasuk apakah perlu ada kuarantin di situ berdasarkan perkembangan semasa.

“Tadi saya adakan perbincangan dengan polis dan tentera kerana esok mereka mula bertugas dan saya tidak mahu ia disalah tafsirkan. Kita bukan darurat, tapi tentera membantu polis untuk mencukupkan keanggotaan,” katanya yang turut meninjau beberapa kawasan di sekitar Bangsar.

Sementara itu, tinjauan wartawan mendapati keadaan di beberapa lokasi tumpuan di ibu negara lengang dengan premis perniagaan ditutup susulan pengumuman PKP oleh kerajaan.

Lokasi yang sebelum ini sibuk seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman, Bukit Bintang dan Dataran Merdeka sunyi dengan hanya beberapa kenderaan dilihat melalui kawasan itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 6:46pm
    d