mutakhir

600 anggota tentera bantu polis

Oleh Zaid Salim

KOLABORASI antara polis dan tentera mampu memberi lebih kesedaran kepada orang ramai untuk duduk di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, dianggarkan seramai 600 anggota tentera akan membantu polis menjalankan tugas kawalan pergerakan orang ramai bermula tengah malam ini.

“Setakat ini, seramai 800 anggota dan pegawai polis bertugas 24 jam sehari, dan dengan adanya bantuan daripada tentera maka kawalan pergerakan dapat ditingkatkan.

“Berdasarkan pemantauan pada hari keempat pelaksanaan PKP, hari ini, tahap pematuhan rakyat negeri ini meningkat sebanyak 85 peratus dan diharap semakin baik dengan kehadiran anggota tentera,” katanya.

Roslee berkata, orang ramai perlu mematuhi perintah berkenaan bagi memutuskan rantaian wabak berbahaya itu yang hanya boleh bertahan selama 14 hari.

“Sebab itu orang ramai diminta melakukan kuarantin diri sendiri dengan berada di dalam rumah masing-masing sehingga tempoh PKP berakhir pada 31 Mac ini.

“Sehingga kini, pihak polis sudah melakukan sebanyak 27 sekatan jalan raya terutama di pusat bandar bagi mengawal pergerakan orang ramai,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 6:54pm
    d