mutakhir

Presma saran kerajaan selaras waktu operasi restoran

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PERSATUAN Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) meminta kerajaan menyelaraskan waktu operasi perniagaan restoran di seluruh negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai PKP yang menetapkan tempoh tertentu bagi operasi perniagaan di seluruh negara.

Katanya, Presma juga mengambil kira faktor kesihatan pelanggan dan risiko jika terdedah kepada tempat terbuka yang dikhuatiri membawa kepada jangkitan Covid-19.

"Selain itu, Presma juga prihatin kepada peniaga yang tentunya mengalami kerugian dalam tempoh PKP ini. Tapi kesejahteraan rakyat perlu diberi keutamaan.

"Presma berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan ini dan berdoa supaya negara kembali pulih dari penularan wabak pandemik ini," katanya dalam satu kenyataan.

Jawahar Ali berkata, lebih 4,000 ahli Presma kini berdepan kerugian sehingga 60 peratus sejak PKP diperkenalkan beberapa hari lalu, namun demi memenuhi keperluan masyarakat, mereka meneruskan perniagaan.

Menurutnya, jika operasi perniagaan diteruskan 24 jam, ahli persatuan bukan sahaja berdepan pendapatan tidak menentu tetapi pelanggan dikhuatiri terdedah bahaya Covid-19.

“Jadi kita cadangkan ada tempoh waktu terhad untuk perniagaan seperti di Selangor yang mengehadkan sehingga 12 tengah malam saja,” katanya.

Katanya, setakat ini belum ada pelanggan yang mengunjungi premis makanan yang dilapor dijangkiti wabak itu dan ia seharusnya dielakkan untuk baki tempoh PKP sehingga 31 Mac ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 10:52am
    d