mutakhir

Mapim aktifkan bantuan 10,000 pek makanan

Oleh Yusmizal Dolah Aling

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan mengaktifkan bantuan 10,000 pek makanan kepada mereka yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 di seluruh negara.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya ingin menyampaikan sumbangan itu dari masyarakat kepada masyarakat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar kumpulan sasaran dapat dibantu.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan nasib semua pihak terbela dan tidak mahu ada yang ketinggalan ketika masing-masing begitu bimbang dengan perkembangan yang berlaku.

"Jadi kita mohon kepada pihak berwajib untuk memudahkan urusan ini kerana mahu membantu ketika negara berdepan wabak yang turut mengancam negara lain di dunia.

"Mapim dan Insan Care mengajak orang ramai untuk bersama-sama menyumbang dan sumbangan dalam bentuk makanan asas itu akan diagihkan secepat mungkin," katanya pada majlis pelancaran bantuan berkenaan, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Ahmad Sani Araby Alkahery berkata, pihaknya turut menyampaikan 1,000 pek makanan kepada petugas keselamatan untuk membantu mereka ketika bertugas.

Katanya, pengalaman Mapim membantu di kawasan konflik antarabangsa memudahkan sukarelawan untuk mengatur gerak kerja bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Kita lalui pengalaman di medan perang dan suasana darurat dipelbagai negara seperti Syria, Gaza, Sudan dan Indonesia. Kita memahami kekangan dan bebanan tugas dilalui petugas kesihatan dan anggota keselamatan, jadi Mapim terpanggil untuk bertindak proaktif dengan kerjasama APM," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 11:23am
    d