mutakhir

Menjawablah hangpa dalam lokap [METROTV]

Oleh Safuri Kamarudin dan Zuliaty Zulkiffli

DUA lelaki masing-masing direman tiga hari dan empat hari bermula hari ini, susulan memuat naik kenyataan menghina serta memfitnah polis di Facebook (FB).

Kedua-duanya ditahan semalam di Kampung Bok Bak, Kupang, Baling dan Taman Desa Murni, Jitra dan akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1988.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 23 tahun di Kampung Bok Bak pada 12 tengah hari semalam.

“Dia memuat naik status di Facebook (FB) yang mendakwa kononnya polis menyusahkan masyarakat dan membuat sekatan jalan raya untuk mencari duit,

“Status itu ‘Berhadapan sekolah kelmarin... gila x (tak) gila tak tahu lah polis nak cari duit punya pasai (pasal) sampai tahap tuh dOooo’.

“Selain Akta Komunikasi dan Multimedia, dia juga disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan tahanan remannya sehingga Selasa,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, mekanik berusia 32 tahun yang ditahan di Taman Desa Murni, Jitra akan direman sehingga Rabu.

Katanya, lelaki itu dipercayai memuat naik hantaran FB dengan gambar anggotanya yang bertugas bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersama keterangan ‘Beruk Mari Pulok’.

“Dalam gambar itu kelihatan anggota polis menghampiri kawasan tempat beberapa penduduk berkumpul, sedangkan ia dilarang sepanjang tempoh PKP.

“Disebabkan status FB suspek, ia memburukkan imej polis dan kita menahannya untuk siasatan sehingga Rabu,” katanya.

Mohd Ismail berkata, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit dan kad sim milik lelaki itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 12:05pm
    d