mutakhir

Masih 'sesak' di Pasar Awam Air Itam [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

WALAUPUN masih bersesak namun bilangan pengunjung yang mahu membeli keperluan di Pasar Awam Air Itam, dekat Georgetown, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sudah bertambah baik berbanding semalam.

Tinjauan pada hari kelima PKP di kawasan itu mendapati bilangan pengunjung sudah berkurangan berbanding sebelumnya malah mereka dilihat sudah memakai penutup mulut dan hidung.

Turut sama dalam tinjauan ialah Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abdul Manan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

Pemerhatian mendapati, sebilangan penjaja sekitar pasar itu sudah menutup premis mereka dan operasi perniagaan hanya tertumpu di bahagian dalam pasar berkenaan.

Menurut Sahabudin, keadaan dilihat lebih baik berbanding sebelum ini.

“Berbanding semalam, ia 70 peratus lebih baik namun kita akan cari jalan supaya ia bertambah baik terutama dalam menjaga jarak diri masing-masing,” katanya ketika ditemui media di Georgetown, hari ini.

Semalam, Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang mengumumkan premis penjaja di empat pasar awam iaitu di Air Itam, Bayan Baru, Jelutong dan Jalan Perak dekat Georgetown tidak dibenarkan beroperasi bermula hari semalam berikutan penularan wabak Covid-19.

“Kita sudah memberi notis dan menasihatkan peniaga khususnya di kawasan yang boleh mengundang kumpulan orang ramai namun sekiranya mereka masih ingkar, premis mereka akan ditutup dan barangan akan disita.

“Sekiranya tetap tidak patuh, lesen perniagaan mereka akan ditarik balik dan laporan polis akan dibuat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 12:54pm
    d