mutakhir

Kuala Lumpur lengang, sunyi

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LENGANG dan sunyi. Itu keadaan di beberapa lokasi di ibu kota pada hari kelima pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Bukit Bintang yang menjadi tumpuan orang ramai dilihat sunyi dengan hanya ada beberapa kedai serbaneka dibuka.

Malah, jalan raya juga lengang dengan kenderaan menjadikan aliran trafik di sekitar ibu kota amat lancar.

Selain itu, kehadiran warga asing juga sedikit iaitu hanya membabitkan pelancong dan pekerja kedai serbaneka dilihat berada di dalam premis.

Gelandangan yang sebelum ini berada di beberapa lokasi sekitar ibu kota juga tidak kelihatan.

Seorang lelaki Australia yang hanya mahu dikenali sebagai Troy, 40-an, berkata langkah kerajaan melaksanakan PKP adalah tindakan betul bagi mengekang penularan Covid-19.

“Perintah itu langkah bagus kerana ia mengelakkan penularan virus berkenaan dalam kalangan orang ramai memandangkan ia boleh tersebar dengan cepat.

“Saya juga mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikuti arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa iaitu keluar apabila perlu sahaja dan memakai topeng (muka dan hidung),” katanya yang juga jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas.

Sementara itu, seorang pekerja kedai serbaneka di Bukit Bintang yang hanya mahu dikenali sebagai Chong, 30-an, berkata, dianggarkan kira-kira 50 pelanggan yang datang ke premis berkenaan setiap hari sejak pelaksanaan PKP.

“Pelanggan yang datang akan masuk seorang demi seorang bagi membeli keperluan dan tidak mengambil banyak masa memilih barang sebelum terus keluar dari premis.

“Kebanyakan pelanggan terdiri daripada pekerja dalam bidang penting dan pelancong menginap di hotel berhampiran yang singgah untuk membeli barang keperluan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 3:54pm
    d