mutakhir

Hanya PDRM, ATM, Rela dibenar lakukan rondaan [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menegaskan tiada kebenaran diberikan kepada sesiapapun melakukan rondaan kecuali pihaknya, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, terdapat dakwaan ada pihak lain yang boleh melakukan rondaan adalah tidak benar.

“Semua individu kena berada di dalam rumah mengikut Akta 342 dibaca bersama Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa, hanya polis, Rela dan ATM diberi kuasa melakukan rondaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kejadian pasukan keselamatan kampung (PKK) di Kampung Changkat, di sini, yang membuat rondaan dan sekatan jalan raya dalam kumpulan di lokasi berkenaan.

Arifai berkata, kedua-dua pihak sudah tampil membuat laporan polis dan keterangan mereka juga diambil.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi enam minit 30 saat menunjukkan beberapa individu dilihat bertengkar kerana perselisihan faham mengenai rondaan dan sekatan jalan raya dilakukan sekumpulan PKK kampung berkenaan tular di Facebook sejak semalam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 4:24pm
    d