mutakhir

KDN jawab soalan mengenai PKP

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KERAJAAN memandang serius situasi penularan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) dan mengambil langkah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari di seluruh negara.

Bagaimanapun masih ramai yang kurang jelas dengan langkah itu dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjawab beberapa persoalan orang ramai berikutan pelaksanaan perintah itu. Berikut adalah jawapan KDN:

1. Adakah perlu sebarang dokumen kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bergerak antara negeri?

Buat masa ini PDRM menangguhkan keperluan untuk mendapatkan Permit Pergerakan Rentas Negeri.

2. Sekiranya terdapat restoran atau warung beroperasi seperti biasa dengan orang awam makan di premis, dengan siapa perlu dilaporkan perkara itu bagi tujuan penguatkuasaan?

Orang awam diminta melaporkan kepada balai polis berhampiran untuk tindakan susulan.

3. Majikan berkeras pekerja datang ke pejabat walaupun tidak termasuk dalam senarai essential, bolehkah melaporkan kepada PDRM?

Aduan berkaitan boleh dilaporkan terus kepada PDRM atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

4. Adakah perlu mengemukakan dokumen sokongan bagi membuktikan keperluan bergerak ke pejabat?

Buat masa ini pelaksanaan permit pergerakan ditangguhkan sehingga satu tarikh ditentukan kelak.

5. Bagi pergerakan lori penghantaran barangan bukan essential, perlukah ditunjukkan sebarang dokumen sokongan mengenai keperluan pergerakan sekiranya terdapat sekatan jalan raya oleh PDRM?

Satu kesalahan mengikut Peraturan 7, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

6. Adakah sekatan membabitkan pergerakan penduduk dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak?

Semua penduduk Malaysia dari Semenanjung tidak dibenarkan untuk menaiki penerbangan ke Sabah dan Sarawak. Begitu juga sebaliknya. Bagi mereka berada di Sabah dan Sarawak sebelum arahan dibenarkan kembali ke Semenanjung dan begitu juga sebaliknya.

7. Bagi warganegara dan penduduk tetap Malaysia yang memegang Pas Jangka Panjang seperti Ekspatriat dan Pas Kerja (Work Permit) di negara asing, adakah dibenarkan pulang ke negara berkenaan?

Ya, mereka dibenarkan pulang dengan syarat tidak kembali ke Malaysia dalam tempoh PKP. Mereka perlu sertakan dokumen atau bukti Pas Jangka Panjang sebagai rujukan di kaunter pemeriksaan Imigresen.

8. Adakah penduduk tetap Malaysia atau warga asing dibenarkan memandu kenderaan berat merentasi sempadan negara?

Warganegara atau warga asing yang memandu kenderaan berat untuk tujuan membawa bekalan makanan dan barang keperluan sahaja dibenarkan keluar dan masuk serta dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan.

9. Berapa pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dibuka sepanjang tempoh PKP dan waktu operasi?

JPN membuka 39 pejabat seluruh Negara dan beroperasi 8 pagi sehingga 5 petang. Operasi di semua UTC ditutup kepada umum.

10. Apakah jenis urusniaga dan perkhidmatan kaunter JPN yang dibuka?

Hanya lima urusniaga dibenarkan iaitu permohonan MyKad rosak dan hilang sahaja, cabutan rekod MyKad, pendaftaran kelahiran, cabutan sijil kelahiran dan pendaftaran sijil kematian.

11 Adakah proses permohonan baharu penapisan filem dan bahan publisiti filem diproses sepanjang penguatkuasaan PKP?

Semua permohonan baharu penapisan filem dan bahan publisiti filem dibekukan dalam tempoh itu.

12. Adakah permohonan penapisan filem dan bahan publisiti filem yang diterima sehingga 17 Mac akan diproses?

Semua permohonan penapisan filem dan bahan publisiti filem yang diterima sehingga tarikh berkenaan akan diproses sewajarnya mengikut prosedur semasa hingga selesai.

13. Adakah proses pembayaran bagi urusan penapisan filem dan bahan publisiti filem boleh dibuat sepanjang PKP?

Urusan pembayaran ditangguhkan ke 1 April.

14. Adakah urusan pengambilan Surat Keputusan Kewarganegaraan boleh dibuat sepanjang penguatkuasaan PKP?

Boleh diambil selepas tempoh PKP tamat.

15. Adakah urusan permohonan semakan teks al-Quran berjalan seperti biasa sepanjang tempoh PKP?

Urusan semakan teks al-Quran buat masa ini hanya dijalankan terhadap permohonan yang diterima sebelum PKP dikuatkuasakan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 4:52pm
    d