mutakhir

Feri ke Langkawi, satu perjalanan sehari

Oleh Noorazura Abdul Rahman

JADUAL feri ke Langkawi dari jeti Kuala Kedah dan Kuala Perlis atau sebaliknya dihadkan kepada satu perjalanan sehari bermula esok sehingga 31 Mac ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, langkah pengurangan itu dibuat berikutan masih ramai melakukan perjalanan keluar masuk ke pulau berkenaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa.

“Mulai esok, waktu perjalanan feri Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis hanya pada 11 pagi, manakala perjalanan dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi pada 4 petang sahaja.

“Kita juga akan hadkan penjualan tiket di kaunter kepada dua jam sebelum perjalanan feri selain orang ramai digalakkan membeli tiket secara atas talian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, perkhidmatan feri dihadkan kepada dua perjalanan sehari berikutan penularan wabak Covid-19 berbanding 10 perjalanan sehari sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 6:10pm
    d