mutakhir

Mungkin mereka mula gerun...

Oleh Nor Farhani Che Ad

KEHADIRAN anggota tentera dalam membantu polis melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan positif apabila tahap kesedaran orang ramai di Sungai Petani mulai meningkat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pemantauan di lokasi tumpuan seperti pasar raya menunjukkan pengurangan secara mendadak jumlah pengunjung berbanding sebelum ini.

“Kehadiran anggota tentera mungkin menggerunkan orang awam di mana tiada lagi pengunjung datang secara berpasangan atau membawa ahli keluarga mereka.

“Begitu juga dengan sekatan jalan raya, kita lihat jumlah kenderaan juga menunjukkan pengurangan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pemantauan tugas Ops Covid-19 sekitar Sungai Petani, hari ini.

Adzli berkata, pihaknya menerima bantuan membabitkan 136 anggota dari 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) untuk menguat kuasakan PKP terbabit.

Katanya, seramai 68 anggota tentera akan bertugas setiap hari bersama 200 anggota polis untuk sekatan jalan raya dan juga rondaan di kawasan tumpuan orang ramai.

“Bermula hari ini, kita membuat sekatan 24 jam di tiga lokasi sempadan daerah iaitu di Jambatan Merdeka, jalan berdekatan Kilang Perwaja dan hadapan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Jalan Kuala Ketil,” katanya.

Menurutnya, hanya seorang wakil keluarga sahaja dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan harian.

Katanya, jika perlu keluar lebih daripada seorang, mereka perlu memberi penjelasan dan pihak polis akan menggunakan budi bicara untuk memberi kebenaran.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 7:26pm
    d