mutakhir

Anjur pertandingan video #StayAtHome

Oleh Yun Mikail

PEJABAT Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) menganjurkan pertandingan video kreatif pendek #StayAtHome sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif berkenaan diadakan bagi menggalakkan pematuhan arahan dikeluarkan kerajaan khususnya bagi komuniti di DUN Kadamaian.

“Video haruslah mengenai masa kualiti bersama keluarga sepanjang tempoh PKP. Durasi video kreatif ini hendaklah antara 15 hingga 30 saat.

“Video boleh dikongsikan di laman facebook page Pejabat Perhubungan ADUN N7 Kadamaian. Pemenang akan menerima hadiah daripada kami,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah menggesa semua rakyat Sabah memberi kerjasama terbaik bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Ewon turut menyumbangkan RM20,000 kepada Jawatankuasa Bencana Daerah Kota Belud sebagai sokongn kepada organisasi berkenaan dalam usaha membendung penularan wabak terbabit.

“Disebabkan sambutan Kaamatan peringkat daerah ditiadakan pada tahun ini, maka sumbangan di bawah Program Touchpoints disalurkan kepada jawatankuasa ini.

“Sumbangan ini akan digunakan untuk membeli keperluan yang difikirkan bersesuaian termasuklah bekalan makanan kepada isi rumah yang dikuarantin oleh Jabatan Kesihatan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 10:01am
    d