mutakhir

10 peratus masih ingkar PKP

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

DIANGGAR 10 peratus atau kira-kira tiga juta individu yang masih ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 hingga 31 Mac ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, walaupun pematuhan PKP mencapai 90 peratus, namun pihaknya tidak boleh memandang enteng dengan jumlah 10 peratus yang masih ingkar.

“Peratusan itu (10 peratus) adalah satu jumlah yang besar.

“Justeru, kami bersetuju penguatkuasaan PKP ini memberi lebih tumpuan di kawasan berisiko tinggi seperti pasar awam dan pasar raya yang sehingga kini didapati masih sesak dengan pengguna dan tidak mengamalkan penjarakan sosial,” katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Affendi berkata, seramai 7,500 anggota ATM ditugaskan membabitkan ketiga-tiga perkhidmatan untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pelaksanaan PKP.

“Mereka ditugaskan di 405 sekatan jalan raya dan 272 lokasi rondaan MPV (Mobile Patrol Vehicle) di seluruh negara setiap hari.

“Melalui pelaksanaan hari pertama, saya melihat kerjasama ATM dan PDRM tidak perlu dipertikaikan terutama sejauh mana peranan dibawa oleh ATM kerana kita perlu bertindak segera dalam apa jua cara dalam menangani wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik langkah kerajaan dalam menguatkuasakan PKP kerana ia adalah langkah terbaik untuk memutuskan rangkaian wabak berkenaan.

“Peranan ATM adalah membantu PDRM dalam mengadakan rondaan, sekatan jalan raya, mengawal hospital, sempadan, kawasan luar bandar dan kawasan awam berisiko tinggi.

“Masyarakat perlu faham perintah ini dilaksanakan atas pertimbangan sewajarnya demi kesejahteraan rakyat.

“Kegagalan juga bukan suatu pilihan dalam ATM dan kerana itu apabila tugasan diberi untuk membantu PDRM, kami akan membantu memupuk sifat berdisiplin dalam kalangan rakyat untuk mematuhi sebarang perintah dan arahan dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramaisupaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tular membabitkan sebarang informasi, gambar, video atau rakaman suara yang menunjukkan aturgerak ATM pada skala besar atau pelakuan tidak munasabah yang bakal diambil oleh anggota tentera.

“Ini kerana ia boleh mencetuskan kebimbangan serta panik dalam kalangan masyarakat dan secara tidak langsung menunjukkan kaedah tidak benar dalam penguatkuasaan PKP,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 10:18am
    d