mutakhir

Jahit dan agih secara percuma

Oleh Ramli Ibrahim

SEORANG suri rumah menjahit 200 penutup mulut dan hidung kain untuk diagihkan kepada orang ramai secara percuma ketika pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Haida Abdullah, 33, dari Kampung Tanah Puteh, Gua Musang mengambil inisiatif itu berikutan kesukaran orang ramai mendapat topeng muka.

Menurutnya, penutup mulut dan hidung itu mula dijahit Sabtu lalu sebaik menerima rintihan orang ramai dalam media sosial berhubung kesukaran mendapatkan bekalan.

“Setakat ini sudah 100 penutup mulut dan hidung siap dijahit dan tunggu 100 lagi dalam persiapan sebelum diagihkan secara percuma.

“Saya bersimpati dengan keperluan mereka ingin menjaga kesihatan berikutan penularan wabak penyakit berjangkit Covid-19,”katanya ketika ditemui dirumahnya hari ini.

Menurut Haida, dia menjahit topeng dan diagihkan secara percuma bagi membalas jasa orang ramai sebelum yang pernah membantunya yang mengalami kemiskinan hidup.

Katanya, sebelum dia lima beranak hidup miskin dan tinggal di pondok usang di Kampung Bukit Gajah Jalan Industri, Gua Musang.

“Kemiskinan keluarga saya tular media sosial hingga mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyediakan rumah.

“Selain MAIK, agensi lain seperti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) memberi bantuan mesin jahit untuk saya cari rezeki,”katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 12:21pm
    d