mutakhir

Operasi empat terminal feri dihentikan sementara

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SELARAS dengan Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan penyakit Covid-19 18 Mac lalu, operasi beberapa feri di empat terminal diberhentikan sementara waktu.

Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Selatan, Dickson Dollah berkata, pemberhentian operasi itu berkuatkuasa 21 Mac.

Katanya, ia membabitkan Terminal Feri Penumpang Muar disebabkan penutupan akses masuk oleh Dinas Perhubungan Kota Dumai dan Kebupaten Bengkalis.

“Selain itu, Terminal Feri Minyak Beku Batu Pahat disebabkan penutupan akses masuk oleh Kantor Kesyahbandaran dan Otoritas Pelabuhan Selat Panjang.

“Sementara, Terminal Feri Tanjung Pengelih disebabkan penutupan akses masuk oleh kerajaan Singapura,” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Dickson berkata, Terminal Feri Tanjung Belungkor pula disebabkan penutupan akses masuk oleh kerajaan Singapura.

“Sebagai alternatif, penumpang feri warga Indonesia yang berhasrat pulang ke Dumai dan Bengkalis disarankan menggunakan perkhidmatan feri di Terminal Feri Antarabangsa Kukup atau Terminal Feri Puteri Harbour.

“Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Terminal Feri Antarabangsa Kukup di talian 07-6969098 (Operator Feri Anjung Seri Sdn Bhd) atau di talian 07-696 0076O (operator terminal feri).

“Sementara, Terminal Feri Puteri Harbour pula di talian 07-560 0542 (Operator Feri Tobindo Sdn Bhd) atau 07-5600 567 (UEM Info Center).

“Bagaimanapun, perkhidmatan feri lain di Johor seperti di Stulang dan Pasir Gudang beroperasi seperti biasa,” katanya.

Terdapat tujuh Terminal Feri Antarabangsa merangkumi Muar, Batu Pahat, selain Tanjung Pengelih dan Tanjung Belungkor di Kota Tinggi, Terminal Feri Antarabangsa Kukup di Pontian, Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour dan Terminal Feri Stulang, Stulang Laut di Johor Bahru.

Terminal Feri Domestik pula membabitkan Jeti Penumpang Mersing di Mersing.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 2:01pm
    d