mutakhir

Sungai Golok aman... [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

KAWALAN ketat di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, menyebabkan kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan lumpuh.

Tinjauan media bersama Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dan Pasukan Polis Marin (PPM), sejauh 21 kilometer di Sungai Golok dari Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga Jeram Perdah, Rantau Panjang tidak mengesan sebarang pergerakan mencurigakan.

Sebanyak 88 pangkalan haram dari Tumpat hingga Rantau Panjang ditempatkan anggota pasukan keselamatan yang bertugas setiap masa dan kawalan ketat turut dilapor di sebelah Thailand.

Sepanjang sungai berkenaan hanya kelihatan puluhan bot yang tersadai di tebing sungai dan beberapa penduduk memancing.

Pasar Mundok di Thailand yang sentiasa dikunjungi rakyat Malaysia juga didapati tutup sejak Rabu lalu dan hanya pekan Tak Bai dilihat beroperasi seperti biasa.

Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata, pihaknya bekerjasama dengan semua agensi termasuk PPM bagi mengawal kawasan sempadan sekali gus memastikan rakyat Kelantan mematuhi arahan.

“Setakat PKP dilakukan, tiada sebarang kes penyeludupan yang dikesan berikutan kawalan ketat dilakukan setiap masa. Malah, kita juga memaklumkan kepada orang ramai supaya mengurangkan pergerakan.

“Mana-mana individu yang masih berdegil dan mahu menyeberangi Sungai Golok, kita tidak akan teragak-agak menahan mereka mengikut Akta Polis 1967.

“Kita tidak boleh lagi berlembut kerana sudah beberapa hari PKP berkuatkuasa. Alhamdulillah setakat ini semua pihak memberi kerjasama baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pos Pulau PGA selepas mengadakan tinjauan sempadan yang turut dihadiri Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 2:29pm
    d