mutakhir

Buka 7 pagi hingga 7 malam sahaja

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

SEMUA restoran termasuk kaunter pandu lalu, kedai serbaneka 24 jam, stesen minyak dan kedai runcit di Perak hanya dibenarkan beroperasi bermula 7 pagi hingga 7 malam bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, arahan itu berkuat kuasa sehingga 31 Mac ini atau sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik semula.

Menurutnya, semua agensi kerajaan negeri juga perlu memberi kerjasama serta sokongan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang digerakkan sepanjang tempoh ini.

“Pembabitan agensi kerajaan berkaitan komunikasi di peringkat negeri juga akan dipergiatkan dan memfokuskan dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Hanya agensi kerajaan dan premis perniagaan yang dibenarkan boleh menjalankan operasi, manakala yang lain perlu menutup operasi masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mana-mana pihak yang ingin menyumbang bantuan seperti makanan, penutup mulut dan hidung atau sebagainya kepada petugas dan anggota keselamatan boleh menyalurkannya melalui pejabat daerah atau balai polis berhampiran.

“Saya juga terima kasih kepada orang ramai yang patuh kepada arahan pihak berkuasa dalam menangani penularan wabak Covid-19 ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 2:39pm
    d