mutakhir

'Lelaki bukan tak tahu langsung hal dapur' [METROTV]

Oleh Rosyahaida Abdullah

PERATURAN hanya ketua keluarga atau seorang wakil isi rumah dibenarkan keluar membeli barangan keperluan harian khususnya makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nyata tidak memberi masalah kepada majoriti pengguna.

Sebaliknya, golongan suami yang disapa wartawan Harian Metro menyambut baik langkah itu sebagai sebahagian usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di tempat awam termasuk pasar raya.

Tidak kurang juga yang menyifatkan langkah itu melatih golongan lelaki atau sesiapa saja yang ditugaskan melakukan pembelian terbabit untuk lebih cakna dengan keperluan dapur yang perlu disediakan pada saat kecemasan.

Hazwan Asri, 34, berkata, biarpun kebiasaannya pembelian barang dapur akan dibuat bersama isteri, dia tiada masalah untuk melakukannya sendirian.

Jelas bapa kepada dua anak itu, jika kurang pasti barangan yang dipesan isterinya, dia akan mencari gambar di internet atau merujuk kepada label yang disediakan pasar raya dikunjunginya.

“Saya tidak kisah pun dengan peraturan seumpama ini malah sangat setuju PKP dilaksanakan sebab orang kita degil hinggakan terpaksa gunakan tentera.

“Seandainya PKP terpaksa dilanjutkan pun saya akur dan setuju selagi ia memberi manfaat kepada kita semua dengan harapan wabak Covid-19 cepat berakhir,” katanya.

Pendapat Hazwan turut disokong Roslan Abdullah, 32, yang menyifatkan tugas membeli barang dapur sebagai perkara yang cukup mudah dilakukan kini.

“Semua sudah mudah sekarang. Pasar raya sediakan label untuk setiap barang yang dijual, lengkap dengan harga, nak rancang perbelanjaan pun senang.

“Pada saya, tiada masalah. Saya yakin semua lelaki bukannya tidak tahu langsung hal dapur, ini semua perkara asas dalam rumah tangga tidak kira jantina,” katanya.

Manakala pesara yang juga orang kurang upaya (OKU), Yahaya Alang Rapor, 62, berkata, di sebaliknya kesukarannya untuk bergerak disebabkan kecacatan pada kaki akibat kemalangan, dia menyambut baik peraturan itu demi mengurangkan kesesakan di pasar raya.

Tinggal bersama isteri dan dua anak, Yahaya berkata, dia tiada masalah untuk melakukan pembelian barangan dapur sendirian.

“Saya ada berniaga nasi lemak jadi memang sayalah yang akan beli bahan dan pada masa sama beli juga barang dapur untuk keluarga.

“Seeloknya memang bawa isteri kerana dia lebih pandai pilih ikan tetapi apabila ada peraturan sekarang, saya hanya beli ikan yang saya tahu atau beli ayam saja,” katanya.

Yahaya berkata, walaupun tidak kisah dengan peraturan itu, dia tetap berharap semua pihak dapat mematuhi sepenuhnya saranan kerajaan supaya duduk di rumah bagi memastikan Covid-19 cepat ditangani dan PKP tidak dilanjutkan.

Tinjauan Harian Metro mendapati majoriti yang keluar membeli barangan keperluan di beberapa pasar raya utama terdiri daripada lelaki dengan rata-ratanya membeli dalam kuantiti rasional, bukan lagi dalam jumlah ‘pembelian panik’ seperti mana tular beberapa hari kebelakangan ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 3:54pm
    d