mutakhir

Pusat pembelian getah diarah kembali beroperasi [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PUSAT pembelian getah yang tutup ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diarah kembali beroperasi bagi membantu penoreh menjual hasil torehan mereka.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa penoreh getah masih menjalankan kegiatan mereka seperti biasa.

“Bagaimanapun, banyak pusat pembelian getah pula tutup ketika ini (PKP). Pusat ini mesti dibuka bagi membantu penoreh getah menjual hasil diraih mereka.

“Jika ada pusat pembelian getah berdegil dan tidak mahu membuka semula operasi mereka, tindakan akan diambil menerusi kementerian berkaitan,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan Kementerian Pertanian dan Asas Tani bahawa bekalan makanan mencukupi bagi tempoh dua minggu pelaksanaan PKP.

“Bekalan makanan adalah melebihi daripada tempoh dua minggu. Malah, sektor membabitkan industri makanan dibenarkan beroperasi termasuk nelayan yang tidak ada halangan ke laut dan pekebun sayur juga dibenarkan ke kebun.

“Selain itu, kenderaan untuk mengangkut produk makanan juga dibenarkan bergerak seperti biasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 4:34pm
    d