mutakhir

Covid-19:Kerajaan bantu penuntut IPT [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KERAJAAN akan menanggung sepenuhnya kos makanan 74,530 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), kolej komuniti, institusi guru dan matrikulasi di seluruh negara yang tidak pulang ke kampung ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan makanan itu membabitkan kos RM12.2 juta bagi tempoh 11 hari pelaksanaan perintah berkenaan.

“Sebelum ini, saya ada memaklumkan mengenai bantuan makanan kepada penuntut di kolej dan universiti, namun tidak memperincikannya.

“Saya ingin memaklumkan mereka yang menerima bantuan ini bukan sahaja dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), malah merangkumi kolej swasta, kolej komuniti, institut guru dan matrikulasi membabitkan 74,530 penuntut dengan kos RM12.2 juta,” katanya pada sidang media khas, hari ini.

Ismail berkata, pihaknya akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak universiti dan lain-lain kolej berkaitan untuk mengagihkan kepada penuntut.

“Urusan pengagihan diserahkan kepada pihak universiti masing-masing sama ada pemberian bantuan diberikan menggunakan kupon atau masak sendiri.

“Perkara itu kami serahkan kepada pihak berkaitan mengikut kaedah masing-masing,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 6:35pm
    d