mutakhir

Mayat mangsa kedua runtuhan tanah ditemui [METROTV]

Oleh Nor Farhani Che Ad

MAYAT mangsa kedua yang tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah di kaki Gunung Jerai dekat Gurun berjaya ditemui, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, mangsa ditemui 12.53 tengah hari pada kedudukan kira-kira dua meter dari lokasi mangsa pertama.

Menurutnya, pihaknya berdepan sedikit kesukaran untuk mengeluarkan mayat mangsa kedua kerana ditemui pada kedudukan ke dalam tanah.

“Mangsa pertama berusia 52 tahun ditemui pada 10.49 pagi di kawasan agak tinggi, manakala mangsa kedua berusia 68 tahun pada kedudukan di dalam tanah.

“Susulan penemuan kedua-dua mayat mangsa, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 1.15 tengah hari dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Semalam, portal berita Harian Metro melaporkan dua mangsa Roslan Saidin 52, dan Md Noor Shaari, 68, dipercayai tertimbus ketika sedang mencari emas di kawasan itu.

Mangsa dianggarkan tertimbus pada kedalaman antara 1.5 meter hingga tiga meter.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya meminta bantuan bomba untuk menimbus semula lokasi bagi mengelakkan disalahguna oleh pihak lain.

Beliau juga menyeru orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti yang tidak mempunyai maklumat yang sahih.

“Sebarang kegiatan penjarahan harta warisan perlulah mendapatkan kelulusan Jabatan Warisan Negara walaupun kegiatan itu dilakukan di tanah persendirian mahupun tanah kerajaan,” katanya.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Berita berkaitan

Jumpa mayat mangsa tertimbus

Ops cari mangsa tertimbus diteruskan

Mangsa tertimbus dipercayai pemburu emas

Dua mangsa tertimbus usahakan tanaman kelapa

2 tertimbus tanah runtuh Gunung Jerai

Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 7:06pm
d