mutakhir

Prasarana hadkan perkhidmatan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) melaksanakan perkhidmatan terhad untuk pengangkutan awam susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 31 Mac ini.

Prasarana dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan semua perkhidmatan rel Rapid KL membabitkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monerel hanya akan beroperasi dari 6 sehingga 10 pagi sebelum direhatkan dan bersambung semula dari 5 petang sehingga 10 malam dengan kekerapan antara 10 hingga 30 minit.

“Tiada perkhidmatan antara 10 pagi hingga 5 petang dengan kereta api terakhir akan tamat perkhidmatan 10 malam dan semua stesen akan ditutup, “katanya.

Kenyataan itu memaklumkan semua bas berhenti-henti iaitu Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan dan Rapid Kamunting juga hanya akan beroperasi dari 6 hingga 10 pagi sebelum berhenti dan bersambung semula dari 5 petang hingga 10 malam.

“Feri Pulau Pinang yang dikendalikan oleh Rapid Ferry pula akan mengendalikan satu feri setiap jam antara 6 hingga 10 pagi dan antara 5 petang hingga 10 malam.

“Orang ramai khususnya mereka yang bertugas dalam perkhidmatan penting yang menggunakan pengangkutan awam dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka atau mencari pengangkutan alternatif.

“Bagi mendapatkan butiran lanjut dan terkini, orang ramai yang boleh mengikuti saluran media sosial Prasarana di laman Facebook Rapid KL @myrapid, Twitter atau Instagram di @myrapidkl,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 11:23pm
    d