mutakhir

'Inilah tugas paling mencabar...'

Oleh Rosman Shamsudin

“SEPANJANG menjadi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), inilah tugas yang paling mencabar yang perlu dihadapi kerana berdepan dengan risiko yang tidak nampak,” kata Ketua Perhubungan Rela Kawasan (KPRK) daerah Muallim, Shukeriradzi Md Said, 50, ketika ditemui di Pasar Awam Slim River, dekat Muallim.

Shukeriradzi berkata, sepanjang menjalankan tugas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sejak 18 Mac lalu, beliau perlu menjaga keselamatan diri setiap masa terutama ketika berada di tempat tumpuan awam.

Katanya, jika sebelum ini tugas yang diberikan kepada Rela lebih mudah dilaksanakan kerana tidak perlu berdepan dengan risiko yang tidak nampak melalui pandangan dan pemerhatian.

“Tugas kali ini perlu dilaksanakan dengan tegas tanpa ada kompromi kepada segelintir orang awam yang gagal mematuhi PKP yang sedang dilalui seluruh rakyat negara ini.

“Pejuang zaman dahulu berjuang dan berperang untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah tetapi kini kita sekarang berjuang untuk membebaskan negara daripada penularan wabak Covid-19.

“Jika dahulu kita nampak ‘musuh’ tetapi sekarang lebih berbahaya kerana kita tidak nampak. Mungkin ada pada kita sendiri dan orang di depan kita atau orang di sekeliling kita menyebabkan kita perlu ambil langkah keselamatan,” katanya.

Seramai 20 anggota Rela daerah bertugas mengikut dua shif setiap hari di kawasan daerah ini bagi memastikan PKP dipatuhi oleh orang awam.

Ketika PKP, bermula 7 pagi sehingga 11 pagi, tugas anggota Rela lebih bertumpu di tempat tumpuan orang awam iaitu Pasar Tanjung Malim, Pasar Behrang Stesen dan Pasar Awam Slim River.

Katanya, setiap hari sebelum menjalankan tugas, beliau lebih menumpukan langkah keselamatan diri yang perlu diambil oleh anggota Rela.

Beliau berkata setakat hari ini beliau bersyukur apabila orang awam memahami tugas mereka dan memberikan kerjasama dalam memerangi wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 11:43am
    d