mutakhir

Klinik Penyakit Pernafasan dibuka di Sarawak

Oleh Mohd Roji Kawi

SEBUAH klinik khusus untuk mereka yang ada masalah batuk, selsema dan demam dibuka di Sarawak Multipurpose, di Stadium Perpaduan, di Petra Jaya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Klinik Penyakit Pernafasan (Respiratory Clinic) itu dibuka mulai hari ini dan beroperasi mulai 8 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata, klinik berkenaan ditutup pada Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am.

“Klinik ini dikhaskan untuk pemeriksaan dan rawatan mereka yang mengalami masalah demam, batuk dan selsema tetapi tidak ada kontak dengan mereka yang positif koronavirus baharu (Covid-19) atau kes individu dalam siasatan (PUI).

“Klinik ini berbeza dengan pusat saringan di Kompleks Belia dan Sukan Sarawak yang menyediakan perkhidmatan untuk menyaring mereka yang ada kaitan dengan kes PUI atau positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau klinik berkenaan bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, pembukaan Klinik Penyakit Pernafasan mampu mengurangkan kesesakan di hospital dan klinik kesihatan.

“Kami berharap kemudahan baharu ini dapat membantu mengurangkan peluang virus merebak dan pemeriksaan serta rawatan adalah percuma,” katanya.

Beliau berkata, selepas di Kuching, pihaknya merancang untuk menyediakan kemudahan klinik sama di tempat lain, khususnya di Sibu dan Miri.

Pada hari pertama pembukaan klinik itu, seramai 18 petugas perubatan, termasuk doktor bertugas klinik berkenaan dan hampir 150 penduduk memanfaatkannya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 2:28pm
    d