mutakhir

Covid-19: Jangan balik ke bandar tempoh PKP [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

RAKYAT bekerja di bandar dan yang pulang bercuti di kampung khususnya ketika musim cuti persekolahan baru-baru ini diminta terus kekal di kampung sebagai antara langkah membendung penularan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat trend rakyat yang pulang ke kampung sebelum ini ingin kembali ke bandar besar pula.

Katanya, bagi membendung kemungkinan berlakunya senario itu polis mengadakan sekatan jalan raya di 23 plaza tol di seluruh negara dan mereka yang berkenaan akan dinasihatkan pulang semula ke kampung halaman masing-masing sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

“Pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan kini meningkat kepada 95 peratus tetapi terdapat trend rakyat yang pulang ke kampung sebelum ini ingin kembali ke bandar besar pula.

“Kesesakan di bandar ketika ini semakin berkurang dan jalan raya semakin lengang dengan kadar pematuhan tinggi hasil kerjasama bersepadu dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan pihak berkuasa tempatan.

“Namun sudah ada menunjukkan trend rakyat yang pulang ke kampung sebelum ini ingin kembali pulang ke bandar besar untuk kembali bekerja. Saya harap ia tidak dilakukan sama sekali. Terus tinggal di kampung halaman masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Kanan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya hari ini.

Ismail berkata tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi arahan dan nasihat polis.

“Pihak polis mungkin akan mengubah cara mereka bukan setakat nasihat tetapi tindakan undang-undang juga akan diambil kepada mereka yang menghalang penjawat awam dan juga masih berdegil dan gagal mematuhi arahan atau nasihat yang dikeluarkan pihak polis,” katanya.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 695 laporan polis dibuat, kertas siasatan terhadap 46 kes dibuka dan 28 orang ditangkap berhubung perkara itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 4:34pm
    d