mutakhir

Kepatuhan rakyat Melaka semakin meningkat

Oleh Amir Mamat

KIRA-KIRA 95 peratus rakyat Melaka didapati patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shahrul Lalli Masduki berkata, jumlah orang ramai yang akur dengan PKP semakin meningkat berbanding hari pertama dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Beliau berkata, dengan kekuatan keseluruhan lebih 600 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) nyata membantu memastikan rakyat mematuhi arahan kerajaan itu.

“Sebelum ini, kami hanya mengadakan tiga operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di setiap daerah, tetapi kini ditingkatkan kepada empat operasi menjadikan 12 operasi setiap hari.

“Saya turut mengarahkan SJR dijalankan di setiap pintu masuk tol ke negeri itu serta bekerjasama dengan beberapa agensi untuk mengawal sempadan Melaka,” katanya selepas melaksanakan Operasi Show Of Force bersama ATM bagi penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan di Melaka, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini tiada anggota polis disahkan atau disyaki dijangkiti Covid-19 sepanjang menjalankan tugas setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 5:34pm
    d