mutakhir

Covid-19: Dron pantau 12 lokasi panas [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan teknologi dron bagi memantau 12 kawasan panas koronavirus baharu (Covid-19) di seluruh negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, penggunaan dron membolehkan pihaknya membuat pengawasan dari udara dengan cepat selain ia boleh terbang dengan senyap ke kawasan di mana pasukan pengawasan tidak boleh pergi.

Menurutnya, ATM komited mencapai objektif PKP di mana salah satu cara dapat menghentikan wabak ini daripada merebak.

“Dron ini milik ATM, PDRM dan turut dibantu industri tempatan yang meminjamkan peralatan dron mereka bagi membantu memantau pergerakan dari udara.

“Dron ini boleh mengambil dan merakam gambar jadi jika masih ada orang ramai di kawasan itu, kita akan hantar pasukan pengawasan,” katanya pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Affendi berkata, jumlah dron itu tidak dapat didedahkan namun ia mencukupi untuk menjalankan pemantuan dari udara sepanjang PKP ini.

“Sudah tentu buat masa ini kita tidak boleh buat satu negara tetapi kita ada lokasi sasaran yang kita rasa patut dilakukan.

“Kita berharap operasi ini dapat dijalankan dengan lebih efisien kerana virus ini sangat berbahaya dan jika dijangkiti boleh merebak,” katanya.

Beliau berkata, dron itu juga boleh membuat hebahan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Tamil dan Mandarin.

Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan senjata ketika PKP, Affendi berkata, ia hanya sebagai pertahanan diri namun jika dilihat dalam lima anggota ATM hanya seorang sahaja yang membawanya.

“Macam saya tekankan sebelum ini, rakyat bukan musuh kita tetapi kami cuma ingin memantau kerana musuh sebenar kita adalah Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 5:46pm
    d