mutakhir

Barangan keperluan asas Johor dijamin cukup

Oleh Ahmad Ismail

BARANGAN keperluan asas di seluruh Johor dijamin mencukupi walau pun berkemungkinan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan selepas tempohnya berakhir pada 31 Mac.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr Chong Fatt Full berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor sudah bersedia dengan pelan jangka panjang bagi memastikan bekalan makanan mencukupi melangkaui 14 hari tempoh PKP.

“Bagi memastikan bekalan makanan mencukupi selain tiada peniaga menaikkan harga barangan, kami melakukan pemantauan dan pemeriksaan mengejut di kesemua 941 pasar raya, pasar awam, pemborong dan pekilang,” katanya pada lawatan Pemeriksaan dan Kedudukan Bekalan Barangan Perlu, Tempoh PKP di Pasaraya NSK, Muar, hari ini.

Turut hadir Pengarah KPDNHEP Johor Mohd Hairul Anuar Bohro dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Johor Zubir Hamsa.

Menurut beliau, kajian pihaknya turut mendapati, antara punca pembelian panik ialah akibat penularan berita palsu di laman sosial yang mengatakan bekalan tidak mencukupi.

“Barangan keperluan asas di Johor seperti beras, minyak masak, gula dan tepung mencukupi serta mudah diperoleh.

“Jika ada pasar raya, kedai runcit atau pasar awam mendakwa bekalan makanan tidak cukup, orang ramai boleh merakam gambar, tarikh dan lokasi premis terbabit untuk kami ambil tindakan,” katanya.

Aduan juga boleh disalurkan dengan menghubungi talian bebas tol 1800886800 atau emel ke e-aduan@kpdnhep.gov.my, WhatsApp talian 019-2794317 selain Pusat Arahan Penguatkuasaan di 03-88826088 dan 03-88826245.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 5:54pm
    d