mutakhir

Tidak benar pelajar tahfiz positif Covid-19

Oleh Zuhainy Zulkiffli

POLIS menafikan dakwaan terdapat pelajar tahfiz di Pekan Darat, Butterworth disahkan positif dijangkiti virus Covid-19.

Terdahulu, gambar mereka tular di media sosial, hari ini didakwa dibawa ke hospital menaiki lori dengan pemantauan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hanya tujuh pelajar tahfiz warga Kemboja itu menjalani saringan dan perlu dikuarantin.

Menurutnya, mereka juga belum disahkan positif Covid-19 dan KKM mendapati persekitaran pusat tahfiz itu tidak sesuai menjadi tempat kuarantin kerana masih duduk secara berkumpulan.

“Berikutan itu, kesemua pelajar tahfiz terbabit dibawa KKM menaiki lori milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke sebuah pusat kuarantin di Seberang Perai Selatan supaya proses kuarantin dapat dijalankan dengan betul.

“Justeru, maklumat mengenai gambar pelajar tahfiz yang tular itu adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih kerana menggugat keharmonian serta mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 7:01pm
    d