mutakhir

10,000 penjawat awam Pahang sedia potong gaji

Oleh Asrol Awang

SEBAGAI tanda prihatin, 10,000 penjawat awam Pahang bersedia memotong gaji untuk disumbangkan kepada Tabung Covid-19.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, hasil sumbangan penjawat awam itu, dianggarkan berjumlah RM100,000 sebulan.

Katanya, usaha itu adalah pengorbanan penjawat awam di Pahang dalam menunjukkan solidariti bersama rakyat Pahang.

“Seramai 10,000 kakitangan itu terdiri daripada penjawat awam lantikan Pahang termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri Pahang yang bersedia memotong gaji mereka.

“Sumbangan itu diharap membantu mereka yang terjejas termasuk penjaga, peniaga kecil dan pemandu teksi kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Sallehuddin berkata, bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) sangat kritikal pada masa sekarang dan salah satu perlindungan utama untuk petugas barisan hadapan dalam memastikan mereka terhindar daripada wabak Covid-19.

“Oleh itu, hasil perbincangan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, timbul inisiatif untuk membuat PPE secara ‘do it yourself’ memandangkan keperluan ini mendesak.

“Usaha ini mendapat reaksi positif dan akan membabitkan badan bukan kerajaan seperti PUSPANITA, BAKAT, Puteri UMNO dan beberapa NGO lain.

“Selain itu, pihak Penjara Penor dan Penjara Bentong turut akan bekerjasama dalam menyediakan PPE,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 7:08pm
    d